Hiking Sepilok Laut Sandakan 5.0 | Assalamualaikum & Salam Sejahtera. Hi, korang! Murni sambung lagi pengalaman hiking di luar daerah, tak jauh pun hiking di Sandakan saja. Entri ni pun sebenarnya dah pending hampir dua bulan lamanya, almaklumlah sibuk sajalah haha.
Hiking Sepilok Laut Sandakan 5.0
Murni hiking di Sepilok Laut dah termasuk kali yang kelima, termasuklah bercamping di Sepilok Laut Reception Centre sebanyak 2 kali. Entri blog berkaitan; [+] Hiking & Camping di Sepilok Laut Sandakan & [+] Hiking & Camping di Sepilok Laut Sandakan 2.0 . Mengangkat tema hiking kali ni Reconnect with Nature anjuran hikers Sandakan yang berlangsung pada 30/09/2023. Penyertaan peserta hampir mencecah 100 orang yang memghimpunkan hikers dari beberapa daerah.
Memandangkan Murni dah hampir setahun lebih tak hiking di Sepilok Laut sejak berpindah semula ke Lahad Datu, Murni pun ambillah peluang untuk turut serta. Murni gerak dari Lahad Datu ke Sandakan pada hari Jumaat petang selepas waktu bekerja, masa ni Murni tumpang kereta kawan. Murni siap beli tiket flight dari Sandakan ke Lahad Datu pada hari ahad sebab tak nak penat dalam perjalanan dengan menaiki bas. Tambahan keesokan harinya Murni perlu berkerja. Nampak tak kegigihannya nak pergi healing dengan cara menikmati alam.
Credit gambar Muhd Rafik |
Seawal 07:50 pagi Murni sampai di Rainforest Discover Centre (RDC). Kaunter tiket dibuka jam 8:00 pagi. Bayaran masuk untuk hiking di Sepilok Laut berjumlah RM12.00 per orang. Usai buat pendaftaran, kami bergerak ke Kabili Theatre & berkumpul di kawasan lapang.
Rainforest Skywalk | Credit gambar Muhd Rafik |
Sebelum aktiviti hiking bermula pada jam 9:00 pagi taklimat ringkas, bacaan doa & aktiviti meregangkan otot dilakukan terlebih dahulu. Part yang best bagi Murni hiking kali ni ialah dapat menikmati alam dari atas Rainforest Skywalk yang terdapat di RDC, trail permulaan hiking tidak sama seperti sebelum ini yang mana perlu melalui jalan aspal & bersimen sebelum sampai ke papan tanda 'Entrance to Kabili Trail (120 m)'
Papan Tanda Kabili Trail |
Papan tanda Kabili Trail ni merupakan salah satu tempat yang wajib untuk korang ambil gambar bila masuk Sepilok Laut. Actually masa masuk tu Murni tak sempat ambil gambar sebab ramai yang menunggu giliran nak bergambar. Bagi menjimatkan masa perjalanan Murni dan rakan yang lain teruskan saja perjalanan. Nasiblah masa keluar sendiri terserempak dengan seorang kawan, bolehlah minta tolong ambilkan gambar.
Antara tumbuhan yang menarik perhatian Murni sepanjang melalui Kabili Trail. Murni tak banyak ambil gambar & video hiking kali ni, almaklumlah pewai sajalah haha. Murni muntah-muntah sebelum & selepas pondok kedua. Masa ni masih lagi bersemangat untuk teruskan pendakian, pergerakan pun dah mula perlahan. Murni & rakan yang lain sampai di Bukit Jalil dalam jam 11:30 pagi. Bukit Jalil ni ni terdapat pondok ketiga untuk beristirahat.
Pondok ketiga Bukit Jalil |
Bukit Jalil Sepilok Laut Sandakan |
Tiada ulasan
Catat Ulasan