Kembara 8 Destinasi Ajaib Jawa Timur Indonesia

Kembara 8 Destinasi Ajaib Jawa Timur Indonesia | Assalamualaikum & Salam Sejahtera. Hi, korang!  Hampir 6 bulan lamanya Murni meninggalkan dunia penulisan blog ini dan yang pastinya hari ini Murni akan kongsikan pengalaman pengembaraan Murni ke Jawa Timur, Indonesia. Perjalanan Murni bersama-sama 4 rakan yang lain bermula dari Sandakan ke Kuala Lumpur pada 17/05/2025, bertolak ke Surabaya pada 18/05/2025 dan kembali semula ke tanah air pada 24/05/2025.

Kembara 8 Destinasi Ajaib Jawa Timur Indonesia

Jawa Timur di Indonesia terkenal dengan landskap alam semula jadi yang sangat memukau bermula dari gunung berapi yang masih aktif hingga air terjun megah yang tersembunyi di tengah hutan. Perjalanan kembara alam ini membawa Murni ke 8 destinasi utama; Kawah Ijen, Air Terjun Kapas Biru, Panorama Kapas Biru, Panorama Coban Sriti, Larva Tour Semeru, Air Terjun Tumpak Sewu, Goa Tetes, & Bromo. Setiap lokasi memiliki keunikan tersendiri dan menawarkan pengalaman yang sukar Murni lupakan sehingga ke hari ini.

1. Kawah Ijen - Fenomena Api Biru yang Unik di Dunia

Kawah Ijen merupakan salah satu gunung berapi yang terkenal di dunia kerana fenomena api biru yang jarang ditemui. Ia hanya boleh dilihat di dua lokasi sahaja; Iceland & Indonesia. Terletak di perbatasan antara Kabupaten Banyuwangi & Kabupaten Bondowoso Jawa Timur, Indonesia. Gunung berapi Ijen mempunyai tasik kawah berasid berwarna hijau turquoise. Tasik ini menjadi lokasi bagi operasi industri perlombongan belerang yang dilakukan oleh penduduk kawasan sekitarnya. 

Api Biru Kawah Ijen

Untuk melihat fenomena api biru ini, pendakian perlu dilakukan pada waktu subuh & perlu sampai ke bawah (lokasi api biru) sebelum matahari terbit. Pengalaman Murni semasa pendakian sangatlah teruk pada masa itu dengan keadaan kaki yang sakit, muntah-muntah, cirit-birit, demam & selesema lagi. 

Fenomena Api Biru di Kawah Ijen Banyuwangi Jawa Timur

Disebabkan keinginan Murni ingin melihat sendiri keajaiban Tuhan Murni sewa pengangkutan taxi 'lamborghini' yang tersedia di sepanjang perjalanan naik turun ke Kawah Ijen. Kalau tak silap Murni bayar masa itu dalam 1,500,000 rupiah (lupa haha). Berkorban wang ringgit dalam masa yang sama kita berkongsi rezeki dengan tukang yang membawa taxi cumil. 

Tip Perjalanan:

  • Bawa pelitup muka N95 untuk melindungi diri daripada bau asap sulfur
  • Bawa lampu kerana penglihatan pada waktu malam adalah terbatas
  • Sediakan jaket tebal, sarung tangan, topi, & baju hujan kerana suhu boleh turun sehingga 5 celcius (sejuk huhu, lagi syahdu bila hujan turun. Menggigil 1 badan)
  • Mulakan pendakian sekitar jam 1 pagi untuk melihat fenomena api biru sebelum matahari terbit (Kami bergerak agak lewat sedikit dalam jam 3 lebih)

2.  Air Terjun Kapas Biru - Keindahan Air Terjun di Tengah Hutan



Terletak di kawasan Lumajang. Air Terjun Kapas Biru menawarkan suasana yang tenang dengan aliran air yang jatuh setinggi kira-kira 100 meter. Airnya berasal dari lereng Gunung Semeru. Perjalanan menuju ke  sini memerlukan sedikit trekking merentasi laluan berbatu dan hutan, tetapi setiap langkah terasa berbaloi apabila mendengar deruan air deras. Nama "Kapas Biru" berasal dari warna air yang jernih kebiruan. Tempat ini sangat sesuai dijadikan sebagai lokasi yang sempurna untuk fotografi dan beristirahat sambil menikmati udara yang segar.

Tip Perjalanan;

  • Gunakan kasut hiking keranan laluan agak curam dan licin
  • Bawa baju ganti (boleh tukar baju kalau terkena percikan air terjun/ bermandi-manda)
  • Masa terbaik untuk ke sini ialah pada awal pagi hingga tengah hari

3. Panorama Kapas Biru - Pandangan Menyeluruh Air Terjun



Tempat ini terletak di Tamanayu, Kecamatan Pronojiwo, Kabupaten Lumajang. Lokasi Panorama Kapas Biru berbeza dengan titik Air Terjun Kapas Biru. Panorama Kapas Biru merupakan tempat yang paling strategik untuk menikmati pemandangan secara menyelurunh aliran air yang kelihatan seperti helai kapas yang jatuh di tengah kehijauan hutan. Sekiranya bernasib baik dapat cuaca yang cerah, mata kamu akan disajikan dengan Gunung Semeru. Kami tidak bernasib baik pada masa itu, cuaca agak mendung pula. Ini petanda supaya datang lagi ke Lumajang. Perjalanan kami menuju ke sini hanya menaiki motor sahaja.

Tip Perjalanan;
  • Lokasi ini sesuai untuk fotografi drone
  • Datang pada waktu pagi supaya dapat melihat cahaya matahari menembusi lembah, secara tidak langsung dapat menghasilkan gambar yang lebih dramatik.

4. Panorama Coban Sriti - Air Terjun Berkembar yang Megah

Lokasi Panorama Coban Sriti terletak di Desa Pronojiwo, Kecamatan Pronojiwo, Kabupaten Lumajang. Ketinggian Coban Sriti sekitar 120 meter. Air Terjun ini sangat ikonik apabila aliran air terjun terbahagi menjadi dua. Kami dimaklumkan oleh guide bahawa pengunjung tidak dibenarkan masuk ke kawasan sekitar Coban Sriti kerana aliran airnya yang sangat deras dan berbahaya, cukup untuk dinikmati dari jauh sahaja.  Untuk sampai ke lokasi Panorama Coban Sriti hanya mengambil masa 5-10 minit hanya dengan berjalan kaki saja. 

Tip Perjalanan;
  • Datang pada waktu pagi atau cuaca cerah, kalau bernasib baik boleh nampak pelangi sekitar Coban Sriti
  • Boleh pakai baju biasa-biasa saja ikut kesesuaian masing-masing
  • Bawa spek mata hitam & payung

5. Larva Tour Semeru - Pengembaraan Jeep di Kaki Gunung Semeru


Larva Tour Semeru membawa kami menyelusuri laluan berdebu dan berbatu akibat letusan Gunung  Semeru hanya dengan menaiki jeep sahaja. Kami ambil trek pendek yang mengambil masa dalam 2 jam dengan jarak 4km. Perjalanan menaiki jeep bermula di Tumpak Sewu Camp, jalur trek pendek (Street View Gunung Semeru sunrise point, watu tumpuk (view batuan dan gunung semeru), kali kebo, manuver Air & Hutan Pinus. Sebenarnya kami agak kecewa dan belum puas untuk menikmati pemandangan alam sebab utamanya cuaca pada masa itu hujan gerimis & Gunung Semeru pun tidak kelihatan langsung. 


Tip Perjalanan;
  • Tempah jeep melalui pemandu rasmi
  • Bawa kamera aksi untuk merakam pengalaman ekstrem
  • Pakai pakaian yang sesuai seperti berseluar elakkan memakai skirt

6. Air Terjun Tumpak Sewu - 'Niagara' Jawa Timur

Air Terjun Tumpak Sewu sering digelar sebagai 'Niagara Jawa Timur'. Air Terjun ini berbentuk setengah bulatan, dengan puluhan aliran air jatuh serentak dari tebin tinggi dengan ketinggian sekitar 120 meter. Air Terjun ini bersempadan dengan Kabupaten Lumajang dan Kabupaten Malang, Provinsi Jawa Timur.


Pemandangan dari atas sudah cukup memakau, namun untuk mendpatkan pengalaman yang lebih epik kami menuruni trek anak tangga menuju ke bawah demi melihat keindahan alam yang menabjubkan.
Tip Perjalanan:
  • Pakai kasut atau sandal yang sesuai kerana laluan agak licin
  • Bawa baju ganti
  • Bawa beg kalis air
  • Waktu terbaik untuk pergi ke sini adalah pada waktu pagi

7. Goa Tetes - Gua yang mempunyai Air Terjun Magis


Goa Tetes menjadi salah satu destinasi yang unik di Lumajang di mana ia menggabungkan keindahan gua baru kapur dengan air terjun semula jadi. Air terjun ini erletak berdekan dengan Air Terjun Tumpak Sewu. Goa Tetes mendapat namanya daripada titisan air yang sentiasa mengalir dari dinding gua menghasilkan suasana sejuk dan menenangkan.



Tip Perjalanan;
  • Pakai kasut atau sandal yang sesuai kerana laluan agak licin
  • Bawa baju ganti
  • Bawa beg kalis air
  • Waktu terbaik untuk pergi ke sini adalah pada waktu pagi
  • Gabungkan perjalanan dari Air Terjun Tumpak Sewu untuk jimat masa

8. Gunung Bromo - Ikon Pelancongan Jawa Timur



Gunung Bromo adalah ikon pelancongan Jawa Timur yang terkenal dengan matahari terbit yang memakau serta pemandangan kawah berasap di tengah lautan pasir. Pemandangan matahari terbit dan beberapa deretan gunung iaitu Gunung Bromo, Gunung Batok dan Gunung Semeru dapat dilihat dari Bukit Perahu Bromo.


Lokasi Bukit Perahu masih terletak di kawasan Taman Nasional Bromo Tengger Semeru. Terdapat 3 pintu masuk utama ke Gunung Bromo; Sukapura Probolingo, Winokitri Pasuruan dan Malang Tumpang. Ada beberpa tempat yang menarik yang korang wajib lawati sekiranya masuk ke Kawasan Taman Nasional Bromo Tengger Semeru. Murni akan kongsikan dalam entri yang akan datang.

Tip Perjalanan;

  • Waktu terbaik untuk melawat ialah Mei - September
  • Pakai baju tebal, suhu boleh mencecah 3-5 celcius pada waktu subuh & pagi
  • Sewa jeep untuk jelajah keseluruhan spot


Trip Murni ke Jawa Timur ini banyak memberikan pengalaman alam yang pelbagai dari fenomena api biru di Kawah Ijen, air terjun tersembunyi yang terdapat di Lumajang, pengembaraan Jeep di Semeru, hinggalah menyaksikan matahari terbit di Bromo. Setiap lokasi memiliki kisah dan keindahannya yang tersendiri, menjadikan Jawa Timur antara destinasi wajib untuk pencinta alam dan jurufoto. Yang pasti Murni akan kembali lagi ke Jawa Timur.