Adakah Niat Puasa Ganti Boleh Disekalikan Dengan Puasa Sunat? | Assalamualaikum & salam sejahtera. Mungkin ada di antara korang yang masih tercari-cari jawapan sama ada boleh ke tak niat puasa ganti disekalikan dengan puasa sunat. Jawapan kepada persoalan tersebut korang boleh perolehi menerusi penulisan Da'i Luqman dalam entri ni.

puasa, puasa sunat, puasa ganti
Kredit Gambar: travel.kompas.com
Adakah Niat Puasa Ganti Boleh Disekalikan Dengan Puasa Sunat?

SESIAPA yang mengerjakan puasa Ramadhan dan diikuti dengan puasa enam hari pada bulan Syawwal, maka orang itu akan mendapat pahala seolah-olah pahala berpuasa sepanjang tahun. Perkara ini jelas disebutkan dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Abu Ayyub al-Anshari Radhiallahu 'anhu:

Maksudnya : ''Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian diikuti dengan puasa enam hari pada bulan Syawwal, maka dia seolah-olah berpuasa sepanjang tahun''.

(Hadits riwayat Muslim)

Namun bagaimana jika seseorang hendak berpuasa enam dalam bulan Syawwal sedangkan dia mempunyai puasa qadha Ramadhan yang belum dibayar, kerana menqadha puasa Ramadhan yang ditinggalkan adalah wajib sama ada puasa Ramadhan itu ditinggalkan dengan sengaja ataupun disebabkan keuzuran syar'ie.

Di sini apa yang menarik, sesiapa saja yang mempunyai puasa qadha Ramadhan, dia boleh saja menyatukannya dengan puasa-puasa sunat yang lain sama ada menyatukan dengan puasa 'asyura, hari 'Arafah, puasa di bulan Sya'ban, puasa mingguan pada hari Isnin dan Khamis, termasuk puasa enam hari pada bulan Syawwal dan lain-lain. 

Namun begitu, perlu dilihat terlebih dahulu apakah sebab puasa Ramadhan itu ditinggalkan, kerana perbezaan sebab meninggalkan puasa Ramadhan akan menentukan sama ada boleh atau tidak menyatukan puasa qadha dengan puasa sunat. Maka untuk lebih jelas akan diterangkan bagaimana boleh menyatukan puasa qadha dengan puasa sunat itu.

Sebab Meninggalkan Puasa Ramadhan

Untuk mengetahui sama ada boleh atau tidak menyatukan puasa Ramadhan dengan puasa sunat itu maka perlu dilihat sebab seseorang itu meninggalkan puasa Ramadhan itu. Orang yang meninggalkan puasa Ramadhan terbahagi kepada dua, iaitu :


  1. Meninggalkan puasa Ramadhan bukan disebabkan uzur syar'ie, iaitu dengan sengaja tanpa alasan yang dibenarkan oleh syara'.
  2. Meninggalkan puasa Ramadhan disebabkan uzur syar'ie seperti kerana datang haidh atau nifas atau sakit atau musafir.

Menyatukan Puasa Qadha Dengan Puasa Sunat

Kedua-dua sebab yang disebutkan di atas menghasilkan hukum yang berbeza dalam perkara menyatukan puasa qadha dengan puasa sunat. Untuk jelasnya diterangkan seperti berikut :

Hukum menyatukan puasa qadha dengan puasa sunat jika meninggalkan puasa Ramadhan bukan disebabkan uzur syar'ie'.

Adalah haram ke atas seseorang melakukan puasa-puasa sunat termasuk puasa enam bulan Syawwal jika dia meninggalkan puasa Ramadhan dengan sengaja, kecuali setelah selesai mengqadha puasa yang ditinggalkannya dengan sengaja itu.

Oleh kerana orang yang meninggalkan puasa Ramadhan dengan sengaja itu haram ke atasnya melakukan apa jua jenis puasa sunat termasuk puasa enam bulan Syawwal selagi puasa Ramadhan yang ditinggalkannya belum diqadhanya, maka dia tidaklah boleh menyatukan puasa enam Syawwal dengan puasa qadha yang ditinggalkan dengan sengaja itu, melainkan setelah selesai dia mengqadha puasa yang ditinggalkan dengan sengaja itu.

Hukum menyatukan puasa qadha dengan puasa sunat jika meninggalkan puasa Ramadhan disebabkan uzur syar'ie.

Adalah sunat hukumnya bagi orang yang meninggalkan puasa yang diharuskan oleh syara' melakukan puasa-puasa sunat termasuk puasa enam bulan Syawwal. Oleh itu, jika seseorang ingin melakukan puasa qadha yang ditinggalkannya kerana uzur, maka bolehlah dia menyatukan niat puasa qadha tersebut dengan niat puasa-puasa sunat yang hendak dilakukannya seperti puasa enam bulan Syawwal.

Pahala Mensatukan Niat Puasa Qadha Dengan Niat Puasa Sunat

Mengenai perkara ini, Syeikh Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullah dalam fatwanya menjelaskan, bahawa orang yang berniat puasa sunat bersama puasa wajib akan mendapat ganjaran pahala bagi kedua-dua puasa yang diniatkannya itu sebagaimana katanya :

Ertinya : ''Jika diniatkan keduanya (puasa sunat dan puasa wajib) dia mendapat ganjaran bagi kedua-duanya atau diniatkan salah satu maka gugur tuntutan yang satu lagi dan tidak mendapat ganjaran pahalanya''.

(Kitab al-Fatawa al-Kubra al-Fiqhiyyah : 2/75)

Bagaimanakah Lafaz Niat Puasa Yang Disatukan Itu?

Niat bagi orang yang hendak menyatukan puasa qadha Ramadhan disebabkan kerana ada uzur yang dibolehkan oleh syara' dengan puasa-puasa sunat seperti puasa enam bulan Syawwal, maka bolehlah dia berniat bagi kedua-dua puasa yang disatukannya itu seperti contoh :

Sahaja aku berniat puasa esok hari qadha fardhu Ramadhan bersama puasa sunat enam hari bulan Syawwal kerana Allah Ta'ala.

Dengan berbuat demikian, maka dia akan mendapat dua ganjaran pahala, iaitu pahala puasa qadha dan pahala puasa sunat tersebut. Perkara ini sama dengan orang yang berniat puasa wajib, sama ada puasa qadha atau puasa nazar pada hari 'Arafah. 

Jika dia berniat kedua-duanya sekali, iaitu puasa qadha dan puasa sunat hari 'Arafah, maka dia akan mendapat ganjaran bagi puasa sunat dan puasa wajib tersebut. Tetapi jika dia berniat hanya bagi puasa sunat sahaja atau puasa wajib sahaja, maka dia hanya akan mendapat ganjaran bagi puasa yang diniatkannya sekalipun ia dilakukan pada hari yang bertepatan antara puasa wajib dan puasa sunat itu.

Maka sebagai kesimpulan, orang yang meninggalkan puasa Ramadhan disebabkan uzur syar'ie bolehlah dia melakukan puasa sunat enam di bulan Syawwal dengan menyatukan niat puasa sunat enam Syawwal itu dengan puasa qadha Ramadhan yang ditinggalkannya disebabkan uzur syar'ie. 

Namun ganjaran pahalanya tidaklah sama sepertimana ganjaran pahala orang yang berpuasa penuh di bulan Ramadhan dan melakukan puasa sunat enam syawwal sebagaimana disebutkan dalam hadits di atas. Namun begitu, akan tetap juga mendapat ganjaran pahala kedua-dua puasa yang diniatkannya itu.

Manakala bagi orang yang meninggalkan puasa Ramadhan dengan sengaja, adalah haram baginya mengerjakan puasa sunat melainkan setelah dia selesai mengqadha puasa Ramadhan yang ditinggalkannya dengan sengaja itu, dan dia tidak dapat mensatukan niat puasa qadha dengan puasa sunat yang lain seperti puasa sunat enam syawwal.

Demikianlah penjelasan yang berkaitan dengan mensatukan puasa qadha Ramadhan dengan puasa sunat.

Wallahua'lam

Sumber Rujukan:

  1. Pelita Brunei
  2. Feqh Manhaj (Sheikh Dr. Mustofa Al-Khin, Sheikh Dr. Mustofa Al-Bugha, Dr Ali Asy-Syarbaji)
  3. Asybahu Wan Nazoir (Bab "Al-Umur Bi Maqaasidiha", Sub Topik "Mengumpulkan Niat")