Jumaat, Februari 05, 2016

Fakta Mengenai Virus Zika

Fakta Mengenai Virus Zika | Assalamualaikum & salam sejahtera. Rasa terpanggil untuk turut sama berkongsi beberapa fakta mengenai Virus Zika yang kian menular sejak belakangan ini terutamanya di benua Amerika. 

Fakta Mengenai Virus Zika
imej via google image

Fakta Virus Zika

  1. Zika adalah virus yang disebarkan oleh nyamuk Aedes
  2. Mereka yang dijangkiti akan mengalami gejala seperti demam ringan, ruam kulit, sakit sendi dan konjunktivitis. Simptom ini akan dialami biasanya sehingga 2-7 hari
  3. Tidak mempunyai rawatan yang spesifik atau vaksin untuk merawat wabak ini.
  4. Pencegahan terbaik adalah dengan mengelakkan daripada gigitan nyamuk
  5. Wabak ini bermula di Brazil dan telah merebak ke 26 buah negara. 

Pengenalan Virus Zika

Virus Zika pertama kali dikesan di Uganda pada tahun 1947 yang menjangkiti monyet Rhesus melalui pemantauan demam kuning sylvatic. Virus ini kemudiannya telah di kenal pasti pada manusia pada tahun 1952 di Uganda dan Republik Bersatu Tanzania. Wabak ini telah direkodkan di Afrika, Amerika, Asia dan Pasifik.

Genre: Flavivirus
Vektor: nyamuk Aedes (pada kebiasaannya menggigit pada waktu pagi dan lewat petang atau malam)
Reservoir: Unknown

Tanda-Tanda & Gejala Virus Zika

Tempoh inkubasi (masa terdedah kepada gejala) adalah tidak jelas, tetapi mungkin dalam beberapa hari. Tanda-tanda yang akan dialami adalah sama dengan jangkitan arboviral seperti denggi, demam, ruam kulit, konjunktivitis, sakit otot dan sendi, kelesuan dan sakit kepala. Gejala seperti ini biasanya ringan dan akan berakhir dalam tempoh 2-7 hari.

Fakta Mengenai Virus Zika
imej via google image

Virus ini telah dikaitkan dengan kejadian “microcephaly” iaitu kelahiran bayi dengan kepala/otak mengecil dan juga dikaitkan dengan gejala saraf iaitu sindrom “Guillain-Barre”. “Microcephaly” merupakan kecacatan otak/kepala yang kekal yang boleh mempengaruhi kualiti hidup bayi sehingga dewasa. - Datuk Dr Lokman Hakim Sulaiman, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kessihatan Awam) Kementerian Kesihatan Malaysia.

 Transmisi Virus Zika

Virus ini disebarkan kepada manusia melalui gigitan nyamuk yang dijangkiti genus Aedes terutamanya Aedes aegypti yang terdapat di kawasan tropika. Ia merupakan nyamuk yang sama membawa denggi, chikungunya dan demam kuning.

Wabak penyakit virus zika telah dilaporkan buat pertama kalinya dari Pasifik; Yap pada tahun 2007 dan Perancis Polynesia pada tahun 2013. Selain itu, lebih daripada 13 buah negara di benua Amerika turut merekodkan jangkitan virus Zika. Hal ini menunjukkan bahawa pengembangan geografi yang pantas dalam penyebaran virus Zika ke beberapa buah negara yang terlibat.

Risiko Penularan Virus Zika di Malaysia

Berdasarkan kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia pada 29 Januari 2016, berikut antara sebab-sebab risiko penularan virus Zika di Malaysia:
  1. Malaysia mempunyai nyamuk pembawa jangkitan ini iaitu nyamuk Aedes. 
  2. Densiti nyamuk Aedes di negara ini adalah sangat tinggi. Ini berdasarkan kepada hasil pemeriksaan premis-premis di seluruh negara serta hakikat bahawa kita juga dibebani dengan masalah denggi yang disebarkan oleh nyamuk yang sama. 
  3. Penyakit ini belum terdapat di Malaysia dan oleh itu rakyat Malaysia amnya tidak mempunyai imuniti terhadap penyakit ini. Oleh itu, jika virus ini dibawa masuk oleh rakyat Malaysia yang dijangkiti atau pelancong luar ke Malaysia, ia boleh merebak dengan pantas. 
  4. Seperti denggi, tiada vaksin dan ubat khusus untuk membunuh virus ini. Oleh itu, orang yang dijangkiti akan menjadi sumber jangkitan kepada orang lain jika digigit oleh nyamuk Aedes. 
  5. Terdapat laporan menyatakan sebahagian besar (terdapat anggaran mengatakan 80%) tidak menunjukkan gejala dijangkiti, yakni mereka boleh menjadi “pembawa yang sihat” dan menyebarkan virus ini tanpa disedari.
Kementerian Kesihatan Malaysia turut mencadangkan beberapa langkah bagi menghalang kemasukan virus ini ke Malaysia.

  1. Semua pelawat dari benua Amerika Selatan dan Amerika Tengah serta rakyat Malaysia yang pulang dari benua berkenaan yang mempunyai gejala demam dan bintik-bintik hendaklah melaporkan diri ke Pusat Kuarantin Kesihatan atau Pejabat Kesihatan berhampiran semasa tiba di Malaysia. Buat masa ini terdapat 22 buah negara melaporkan kes Zika virus dari rantau Amerika Latin iaitu Barbados, Bolivia, Brazil, Colombia, Dominican Republic, Ecuador, El Salvador, French Guiana, Guadeloupe, Guatemala, Guyana, Honduras, Martinique, Mexico, Panama, Paraguay, Puerto Rico, Saint Martin, Suriname, U.S. Virgin Islands, Venezuela dan Samoa.
  2. Mengedarkan Nasihat Kesihatan (Health Advisory) kepada pelancong dan rakyat Malaysia berkenaan langkah-langkah yang perlu diambil jika gejala sedemikian berlaku. Seterusnya, mereka hendaklah segera ke Klinik Kesihatan berhampiran.
  3. Menasihatkan rakyat Malaysia yang mengandung untuk tidak melakukan lawatan ke negara-negara terlibat.
  4. Rakyat Malaysia lain yang melakukan perjalanan ke negara terlibat hendaklah mengambil langkah-langkah pencegahan daripada digigit oleh nyamuk Aedes seperti tidak berada di luar semasa waktu puncak gigitan Aedes di awal pagi dan lewat petang, memakai pakaian yang menutupi anggota badan dan menggunakan ubat pencegahan gigitan (repelen) secara tetap. 
  5. Mengeluarkan “Health Alert” kepada semua fasiliti Kesihatan kerajaan dan swasta.
  6. Meningkatkan pemantauan di klinik dan hospital bagi kes yang mempunyai tanda-tanda Zika dan mempunyai sejarah perjalanan ke 22 buah negara yang melaporkan jangkitan Zika virus. Di samping itu, pemantauan bagi kes “microcephaly” juga ditingkatkan di hospitalhospital.

*sumber
1. World Health Organization (WHO)
2. Kenyataan Akhbar KKM -  Risiko Penularan Virus Zika Ke Malaysia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan