Perempuan Tidak Boleh Mengumpat dan Memfitnah

Perempuan Tidak Boleh Mengumpat dan Memfitnah | Assalamualaikum & salam sejahtera. Salam Jumaat. Entri ini ditujukan khas untuk kaum hawa sekalian alam termasuk diri Murni sendiri. Perkongsian mengenai Perempuan Tidak Boleh Mengumpat dan Memfitnah ini ada dinyatakan di dalam Al-Quran Al-Karim Ar-Raudah, surah Al-Qalam, 68:1.

Gambar sekadar hiasan via google image

Perempuan Tidak Boleh Mengumpat dan Memfitnah

Perempuan muslimah yang benar-benar menyedari dan mengikuti petunjuk Allah SWT akan sentiasa takut kepada-Nya, baik ketika dia sendiri mahupun bersama orang lain. Dia akan sentiasa menjaga perkataannya supaya tidak menyakitkan orang lain.

Allah SWT mengumpamakan orang suka ghibah (mengumpat) seperti memakan bangkai saudaranya. Perempuan solehah tidak akan mahu memakan bangkai kerana dia akan berasa jijik sehingga ia tidak akan mengumpat saudaranya. Seorang muslimah akan berasa bahawa semua itu ialah perbuatan dosa yang tidak seharusnya dilakukan olehnya.

Suatu ketika Aisyah berkata kepada Rasulullah SAW, "Cukuplah Saffiyah itu bagimu begini dan begitu." Sebahagian perawi berkata, "Yang dimaksudkan ialah bahawa Saffiyah itu berparas pendek." Rasulullah SAW bersabda, "Engkau telah mengucapkan kata-kata yang seandainya dicampur dengan air laut, nescaya air laut akan menjadi keruh." (Hadis Riwayat Abu Daud dan Tirmizi, Tirmizi mengatakan bahawa Hadis ini hasan sahih)

Perempuan muslimah yang memahami agamanya akan bersikap tegas menentang ghibah. Ia tidak akan membenarkan seseorang untuk berbuat ghibah dan mencegah saudara-saudaranya supaya tidak berkata keji dan bermusuhan. Perkara ini dilakukan sebagai bentuk pengamalan sabda Rasul, "Sesiapa yang mencegah saudaranya daripada ghibah, maka AllahSWT akan menyelamatkannya daripada api neraka." (Hadis Riwayat Ahmad)

Disebutkan dalam riwayat lain, "Nabi Muhammad SAW sedang berjalan-jalan bersama Ibnu Abbas. Baginda melalui sebuah perkuburan, lalu baginda berkata, "Sesungguhnya penghuni kedua-dua kubur ini sedang diseksa. Mereka berdua diseksa bukan kerana dosa besar. Orang pertama diseksa kerana suka memecahbelahkan. Orang kedua diseksa kerana tidak bersih dalam bersuci daripada buang air kecil. 

'Selanjutnya Ibnu Abbas berkata', "Lalu Rasulullah SAW meminta diambilkan pelepah kurma yang masih hijau. Kemudian baginda membelahnya menjadi dua bahagian, lalu menancapkannya satu persatu di atas kedua-dua kubur itu dan berkata, "Mudah-mudahan dengan kedua-dua pelepah yang masih hijau ini, seksanya diringankan." (Dr. Muhammad Ali al Hasyimi, Syakhsiyyah Al-Mar'ah al-Muslimah, 1996:306-307)

Semoga kita dijauhkan daripada perbuatan mengumpat dan memfitnah orang.

Sumber: Al-Quran Al-Karim Ar-Raudah [Tema Hukum, m/s 563-564]


Tiada ulasan:

Catat Ulasan