Kisah Isteri Imran

Kisah Isteri Imran | Assalamualakum & salam sejahtera. Entri kali ni Murni akan kongsikan mengenai kisah isteri Imran? Korang tahu tak siapa Imran bin Matan serta isterinya dan pernah tak korang terbaca atau mendengar kisah mereka berdua di dalam mana-mana majlis ilmu yang pernah dihadiri? 

Ok, kalau yang tak pernah terbaca atau dengar, macam Murni sendirilah memang tak tahu pun tapi lepas baca kisah mengenai isteri Imran, maka bertambahlah sedikit ilmu mengenai tokoh wanita terdahulu. Jom ikuti kisah isteri Imran.

Kisah Isteri Imran

Kisah Isteri Imran, kasih ibu
Gambar Sekadar Hiasan

Hannah binti Faquz adalah seorang perempuan yang sangat tua. Dia merindukan lahirnya seorang anak,  yang selama ini belum datang dalam kehidupan rumah tangganya. Suaminya bernama Imran bin Matan, salah seorang pendeta Bani Israel. Mereka berdua sentiasa berdoa dan bersabar menunggu datangnya kurniaan Allah SWT.

Naluri keibuannya muncul dan teringin mempunyai anak lelaki yang akan diserahkannya  ke Baitul Maqdis supaya sentiasa beribadah dan mengurus tempat suci itu. Dia pun berdoa, "Ya Allah apabila aku dikurniakan anak lelaki, aku akan menyerahkannya kepada tempat ibadah(Baitul Maqdis) untuk berkhidmat. Terimalah nazarku ini, ya Allah."

Sampai pada akhirnya, Hannah berasa bahawa dirinya mengandung. Dia memberitahu suaminya tentang kandungan dan nazarnya. Ketika umur kandungannya sudah tua, Imran wafat.  Betapa sedihnya hati Hannah, namun dia sentiasa dihiburkan oleh adiknya Lisya dan Zakaria bin Bardia, suami Lisya.

Beberapa hari kemudian, Hannah melahirkan bayi perempuan dan menamakannya sebagai Mariam. Kemudian beliau berdoa memohon perlindungan kepada Allah dari syaitan yang terkutuk.

Hannah membawa Mariam yang masih bayi ke rumah ibadah (Haikal) sesuai dengan nazarnya. Para pendeta berkumpul berebut hendak menjaga Mariam, kerana tahu bayi iti anak Imran seorang yang terkenal soleh. Akhirnya dilakukan undian. Masing-masing melemparkan pen yang biasa digunakan untuk menulis Taurat ke sungai Ardun. Semua pen itu tenggelam kecuali milik Zakaria. Maka Zakaria berhak memelihara Mariam. Ketika beranjak dewasa, Zakaria membuat bilik khas tempat ibadah Mariam sesuai dengan nazar ibunya.

Mariam mempunyai keperibadian yang solehah dan tekun beribadah kepada Allah SWT. Pada siang hari dia berpuasa, solat, bertasbih, dan berzikir. Kunci biliknya dipegang oleh Zakaria, dialah yang menghantar makanan dan minuman.

Pada suatu hari Zakaria melihat kejanggalan. Di sisi Mariam terdapat buah-buahan yang tidak pada musimnya. Zakaria pun bertanya "Hai Mariam, dari mana engkau mendapatkan makanan ini?" Mariam menjawab, "Makanan ini dari sisi Allah SWT." (Syeikh Ahmad Jad, Qisasun Nisa fil Qur' anil Karim, 2005:211-219)

Perkongsian Kisah Isteri Imran (QS Ali Imran, 3:35) adalah petikan bersumberkan Al-Quran Al-Karim Ar-Raudah di bawah tema tokoh wanita. Semoga bermanfaat. Entri yang akan datang berkaitan dengan Perempuan Hendaklah Menepati Janji di bawah tema Akidah - Akhlak.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan