Rabu, Januari 28, 2015

Kisah Aku: Baru, Biru & Buru

Contest
Kontest Teroka Perspektif


Kisah Aku: Baru, Biru & Buru | Assalamualaikum & Salam Sejahtera. Bagi memenuhi tuntutan ketiga-tiga klu iaitu Baru, Biru dan Buru yang terdapat dalam Kontest Teroka Perspektif, Murni akan himpunkan cerita pendek berdasarkan pengalaman sendiri dan suka duka sebelum, semasa dan selepas bergelar sebagai penuntut ilmu. Murni akan membahaskan diri sebagai 'aku' mengikut kesesuaian dan keselesaan Murni sendiri.

Murni tampilkan cerita ini dengan tajuk Kisah Aku: Baru, Biru & Buru dan  kisah ini punya maksud yang tersurat dan tersirat yang mana boleh dijadikan sebagai panduan dan pengajaran dalam melayari bahtera hidup sebagai seorang pelajar...eh! ayat bukan main dah macam sastera pulak. Ada aku kesah! Yang tersirat itu, hanya penulisnya sahaja yang tahu. Jangan kalian cuba mentafsirkan sesuatu yang kamu tidak tahu, takut nanti ada percanggahan pendapat. 

Jemput baca hasil penulisan Murni, ia terhasil daripada sumbangan otak yang menyimpan seribu memori kenangan masa lalu yang kadang kala mengusik hati dan jiwa...hihi Kesemuanya ada tiga bahagian iaitu BARU, BIRU & BURU.


BARU | Aku yang Baru


Aku ingin menjadi seorang yang baru, tapi dalam konteks ingin terlepas daripada kepompong kegagalan yang aku pernah cipta tidak berapa lama dahulu. Ya aku tahu aku bukanlah seorang yang bijak pandai seperti rakan-rakan seperjuanganku yang lain, bila tamat SPM terus dapat panggilan melanjutkan pelajaran ke IPTA, sambung matrik dan seumpamanya. Mungkin usaha yang aku curahkan tidak cukup untuk melayakkan aku diterima di IPTA. Kesemua tawaran dari IPTS terpaksa tolak tepi memandangkan kosnya yang agak mahal. 

Niat untuk sambung belajar masih tetap ingin ditunaikan. Usai menamatkan Program Latihan Khidmat Negara aku putuskan untuk sambung belajar ke tingkatan enam atau dikenali sebagai Pra U. Pada awalnya keputusanku ini ditentang oleh mak. Namun begitu, setelah memujuk mak beberapa kali, akhirnya mak akur. Kegagalan dulu membuatkan semangat aku untuk terus belajar kian bertambah-tambah. 

Ingin menjadi orang baru bukanlah senang, namun bila ianya diiringi dengan doa, usaha, ikhtiar dan tawakkal (DUIT) In Sha Allah kejayaan pasti akan mengiringimu. Berpegang pada konsep DUIT inilah aku mula mengorak langkah untuk mencipta kejayaanku semasa Pra U dulu. Ya, kejayaan demi kejayaan aku cipta sehinggalah aku dinobatkan sebagai pelajar cemerlang dalam aliran kemanusiaan bahkan menjadi salah seorang pelajar terbaik STPM di peringkat daerah. Pada ketika itu, aku bersyukur kerana masih diberi peluang untuk membanggakan mak aku dan ahli keluarga yang lain.

 
STPM 2010
STPM 2010

Alhamdulillah kejayaan tersebut jugaklah yang akan membawa aku berada setapak dihadapan untuk memperoleh segulung Ijazah yang aku impikan selama ini. Mak mengimpikan anaknya ini menjadi seorang pendidik, namun aku akur dengan ketentuan Allah, sungguh kita hanya mampu merancang tapi Allah yang menentukan segala-galanya. Aku mendapat tempat untuk melanjutkan pelajaran di Universiti Rimba Hijau. Persediaan dari segi fizikal dan mental perlu dipersiapkan bagi menempuh persekitaran yang baru.

BIRU | Aura Positf dan Negatif


Cerita aku tidak terhenti pada bahagian BARU dan bersambung di bahagian ini. Aku memilih untuk menerangkan biru daripada perspektif aku sendiri memandangkan ia merupakan salah satu warna kegemaranku. BIRU itu aku sifatkan ia sebagai warna, bukan sekadar warna tapi warna yang ku anggap mempunyai aura positif dan negatif yang mana terselit ujian sepanjang aku bergelar mahasiswi di Universiti Rimba Hijau. 

Warna biru itu melambangkan ketenangan, kedamaian, dan sejahtera yang mana kadang kala boleh mengusik jiwa. Aku memberikan perumpaan BIRU dengan hubungan sesama manusia sebabnya kau akan didampingi dengan orang asing yang kau sendiri tidak pernah kenal sebelum ini bila kau menjejakkan kaki ke menara gading. Beruntung sangat bila kau ketemu dengan insan yang baik budi pekertinya. Bila kau dikelilingi oleh orang-orang yang mempunyai akhlak yang baik, maka akan hadirlah ketenagan yang kau cari. Aku berikan contoh, katalah kau diduga dengan masalah yang menimpa dirimu dan ketika itu ada insan yang sudi menjadi pendengar setia bahkan memberimu motivasi, maka orang tersebut aku anggap sebagai seorang yang punya aura positif. Bagaimana pula kalian? Mungkin punya pandangan yang tersendiri.

Kadang kehidupun sebagai pelajar tidak akan selalunya indah. Diuji dengan banyak hal yang kau sendiri tak pernah terbayang oleh akalmu sebelum ini. Ya, begitu juga diriku ini tak akan terlepas dari setiap ujian. Diriku teruji bila mana perlu terpisah dengan mak buat pertama kalinya untuk menuntut ilmu di tempat orang. Bila berada di tempat orang barulah kita belajar untuk hidup berdiri di atas kaki sendiri atau disebut sebagai berdikari. Belajar untuk tidak boros, tapi kadang-kadang bajet yang diperuntukkan tersasar juga. Belajar untuk uruskan masa. Belajar untuk menjaga hati orang lain, walaupun kadang hati sendiri sebenarnya tak terjaga. Belajar untuk mengenal hati budi orang lain. Belajar untuk mengenal erti rindu dan kasih sayang dan macam-macam lagilah yang kau akan belajar.

Ujian yang terlalu berat untuk dipikul oleh diriku, bila mana tahap pencapaianku dalam akademik tidaklah cemerlang seperti dahulu. Aku akui aku pernah gagal dalam subjek yng melibatkan pengiraan. Ya, aku alah dengan nombor-nombor, tak suka sebenarnya. Pointer pun jatuh, nak kata teruk tak adalah sampai kena buang U. Semester baru tiba, sekali lagi aku perlu perbetulkan niat aku untuk menuntut ilmu. Aku tidak ingin mengulangi kesilapan sama dan aku harus atasi kekurangan yang aku miliki. Practice make perfect. Ketenangan hati itu tiba bila kau mendapat result lebih baik dari yang sebelumnya atas hasil usahamu sendiri. Aku percaya bahawa setiap apa yang berlaku pasti akan ada hikmahnya. Kegagalan yang aku rasakan itulah yang jadi guru terbaik buat diriku untuk terus melangkah kehadapan.





Bukan itu sahaja, banyak ragam manusia yang kau akan jumpa bila kau berada di U. Berhati-hatilah dalam memilih kawan. Aku melihat ragam manusia ni ada yang suka mengambil kesempatan dalam kebaikan seseorang. Ya terlalu kerap aku jumpa insan seperti ini. Boleh jadi dia berkawan dengan kau untuk kepentingan dirinya sendiri. Bila dah terkena kepada diriku sendiri, kadang memang boleh mengundang stress. Apa yang berlaku biarlah rahsia. Situasi seperti ini yang boleh mendorong kepada aura yang negatif sampaikan boleh menyebabkan diri kurang bersemangat untuk melakukan sesuatu perkara Sungguh apa yang terjadi mematangkan lagi diriku dan aku belajar untuk memaafkan orang lain, walaupun kadang kala sukar untuk melupakan perbuatannya.

Tidak kurang juga kau akan alami perasaan bila mana ada insan yang membencimu, menghinamu, mengumpatmu. Apabila berada di hadapanmu kau tidak akan menghidu sedikit pun perbuatan negatifnya. Ya, dia sungguh bijak dalam menyembunyikan perasaan bencinya itu kepada kau. Apa-apa pun kau perlu sentiasa bersangka baik kepada sesiapa sahaja. Ya, mungkin dia tidak mengetahui apa sebenarnya yang berlaku sehingga sanggup menunding jari dan terus menjatuhkan hukum. Kenapa tidak berbincang dengan baik, walaupun ada timbul sedikit salah faham dan kenapa perlu sampai menghukum dengan kata-kata kesat. Jalan penyelesaian yang aku jumpa bila berhadapan situasi seperti ini hanya mengadu kepada Allah kerana tidak ingin memburukkan lagi keadaan.

Setiap pelajar itu punya pengalaman masing-masing sepanjang berada di U, yang aku ceritakan di atas ini aku tidak menceritakan secara terperinci kerana ingin menjaga hati insan-insan yang pernah ku temui. Di sini juga aku ingin beri nasihat kepada adik-adik yang sedang dan bakal melanjutkan pelajaran; bila berada di tempat orang, satu hal yang kau kena jaga adalah maruah diri dan juga keluargamu. Jangan kau mudah terjerumus di lembah kehinaan. Kena pandai membawa diri dan sentiasa ingat pesan mak ayah. 

Ambillah aura positif BIRU yang kau temui sepanjang kau menuntut ilmu di tempat orang yang kemudiannya akan mendatangkan ketenangan dan kedamaian untuk dirimu, dan berlaku bijaklah dalam menangani aura negatif yang kau alami.


BURU | Mencipta Kejayaan 


Rentetan daripada peristiwa BIRU yang aku alami, aku perlu buru kejayaanku sendiri. Segulung Ijazah bakal menjadi milik aku tidak lama lagi. Walaupun aku tidak berjaya untuk mencapai target yang aku tetapkan sebelum menjejakkan kaki ke U, namun aku harus bersyukur kerana aku telah berjaya untuk menamatkan tempoh pengajianku selama tiga tahun. Ya aku sudah merasa hidup berdiri di atas kaki sendiri, terlalu banyak kepayahan yang aku rasakan dan pengalaman sepanjang bergelar mahasiswi. Aku banyak belajar dari setiap ujian yang menimpa. 

Aku redha menerima ketentuan takdir ILAHI sebgaimana telah dijelaskan dalam Hadis Riwayat Muslim "Jika sesuatu kesusahan mengenaimu janganlah engkau berkata: Jika aku telah berbuat begini dan begitulah jadinya. Melainkan kamu berkata: Allah telah mentakdirkan apa yang DIA suka, ia perbuat!" Sesungguhnya perkataan 'andai kata' itu memberi peluang pada syaitan.

In Sha Allah satu hari nanti aku akan mencipta kejayaanku sendiri berbekalkan ilmu yang aku pelajari selama ini. Kejayaan apakah yang aku ingin capai? Bak kata Dato' Siti Nurhaliza biarlah rahsia. Aku lebih suka berahsia berbanding bercerita secara terperinci berkenaan sesuatu hal. Ya, itulah diriku yang sebenar, suka terlihat seperti tiada apa yang berlaku dan hanya membiarkan pemilik hati ini sahaja yang tahu apa yang tersirat di hati. Bertatih daripada bawah itu adalah lebih baik kerana kau akan tahu setiap kesusahan dan titik peluh yang kau alami sebelum kau berada di puncak kejayaan. 

Satu hal yang kau perlu ingat bahawa Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu, melainkan diri mereka sendiri. Dalam kau buru kejayaanmu kau perlu keluar daripada zon selesa yang kau cipta selama ini jika kau berkehendakkan kejayaan yang lebih gah. Jangan juga kau terlalu mengejar keduniaan sehingga kau lupa akan amal ibadah mu yang akan jadi bekalan buatmu di akhirat kelak. Kedua-duanya perlu seimbang. Ya, ini juga merupakan peringatan buat diriku sendiri.

Mohon maaf andai ada di antra kalian yang terasa dengan Kisah Aku: Baru, Biru & Buru yang Murni coretkan di blog ini. Perkara yang baik dijadikan tauladan dan yang buruk itu dijadikan sebagai sempadan, ok!  Semoga hari ini lebih baik daripada sebelumnya. Assalamualaikum!


1 ulasan:

  1. setiap kejayaan itu perlu melalui kesusahan dan kegagalan . Semoga impian akan jadi kenyataan ...

    BalasPadam