Selasa, Oktober 29, 2013

Hadis berkaitan Amalan Peribadi Rasulullah

Hadis berkaitan Amalan Peribadi Rasulullah| Assalamualaikum & salam sejahtera. Walaupun kita tidak hidup pada zaman Rasulullah, namun kita masih dapat mengenali keperibadian Rasulullah dengan lebih dekat berlandaskan hadis sahih yang diriwayatkan oleh para sahabat baginda. Bahkan keperibadian baginda sendiri menjadi ikutan dan sunnah bagi umat islam sejagat.

Amalan yang berkaitan dengan hadis Rasulullah:

Cara Rasulullah merapikan rambut

Daripada Anas bin Malik berkata: Rasulullah selalu mengenakan minyak yang banyak di rambutnya, merapikan janggutnya dan memakai kain penutup kepala sehingga penutup baginda kelihatan seperti penjual minyak. (Diriwayatkan oleh Al-Tirmidzi)

Cara Rasulullah memakai cincin

Daripada Hammad bin Salamah berkata: "Aku melihat Ibnu Abi Rafi' memakai cincin di tangan kanannya." Beliau menjawab, " Aku melihat Abdullah bin Ja'far memakai cincin ditangan kanannya. Menurut Abdullah bin Ja'far pula, Rasulullah s.a.w memakai cincin di jari tangan kanan baginda." (Diriwayatkan oleh al-Tirmidzi dan An-Nassaie)

Cara berjalan Rasulullah 

Daripada Abu Hurairah, katanya: Aku tidak pernah melihat perkara lain yang lebih indah daripada Rasulullah s.a.w., seolah-olah beredar pada wajah baginda. Aku juga tidak pernah melihat orang lain berjalan lebih cepat daripada Rasulullah, bumi ini seolah-olah dilipat untuk baginda. Kami selalu berusaha sedaya upaya (melakukan hal yang sama) dan baginda tidak pun perlu bersusah payah untuk itu. (Diriwayatkan oleh al-Tarmidzi)

Doa Rasulullah sebelum & selepas makan

Daripadda Saidatina Aisyah, katanya: Rasulullah s.a.w. berpesan, " Apabila kamu terlupa menyebut nama Allah sebelum makan, hendaklah kamu membaca Bismillahi awwaluhu wa aakhiruhu (Dengan nama Allah pada awal dan akhir). ( Diriwayatkan oleh Al-Tirmidzi dan Abu Dawud)

Cara duduk Rasulullah

Daripada Qailah bin Makhramah, katanya: Beliau melihat Rasulullah s.a.w. di dalam masjid. Rasulullah sedang duduk dengan merapatkan kedua-dua paha ke perut baginda. Lalu Qailah berkata. " Apabila aku melihat Rasulullah duduk dengan begitu khusyuk, aku jadi gementar." (Diriwayatkan oleh al-Tirmidzi & Abu Dawud)

Buah-buahan yang dimakan Rasulullah

Daripada Saidatina Aisyah, katanya: Rasulullah s.a.w pernah memakan buah tembikai dengan kurma yang baru masak. (Diriwayatkan oleh al-Tirmidzi dan Abu Dawud)

Tempat bersandar Rasulullah

Nafi' bin al-Harits berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda: "Mahukah kalian mendengar aku memberitahu perihal dosa-dosa paling besar?" para sahabat menjawab, " sudah tentu, wahai Rasulullah." Baginda pun berkata " Menyekutukan Allah dan derhaka kepada kedua orang tua." Lalu, baginda duduk sambil bersandar dan menyambung kata-katanya."Memberi kesaksian palsu dan kata-kata dusta." Baginda terus mengulanginya sehingga kami berkata dalam hati, "Mudah-mudahan baginda berhenti bercakap." (diriwayatkan oleh al-Tarmidzi, Bukhari dan Muslim)

Sumber: Majalah dara.com Nov 2013 Hadis berkaitan Amalan Peribadi Rasulullah

Tiada ulasan:

Catat Ulasan